RSS Subscribe

Sunday 15 August 2010

Buang Bayi

Kes-kes pembuangan bayi semakin hari semakin menjadi-jadi. Hampir setiap hari terpampang berita-berita bayi dibuang di muka-muka akhbar dan kadang-kadang lebih daripada 1 kes. Malang sekali apabila anak yang lahirnya dengan fitrah yang suci dibuang seperti najis ke dalam lubang-lubang jamban yang pelbagai bentuk, dibuang ke dalam tong sampah, dibuang ke dalam sungai, ditinggalkan begitu sahaja. Semakin hari manusia sudah menjadi tidak rasional, menjadi gila, langsung tidak berupaya menggunakan akal mereka dengan baik. Apakah perbezaan kita dengan haiwan?







Isu pembuangan bayi merupakan isu yang patut diberi perhatian serius oleh semua pihak. Bermula daripada ibu bapa, warga pendidik, masyarakat sekeliling seterusnya kerajaan yang memerintah. Satu pujian kepada kerajaan negeri Melaka kerana berusaha membela nasib wanita-wanita yang berzina tetapi telah bertaubat. Sedikit sebanyak boleh membantu mereka untuk menghadapi kehidupan seterusnya. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.



Terkini, kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyiasat kes pembuangan bayi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati manakala kes cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Ini merupakan satu cara untuk mendidik masyarakat menggunakan hukuman. Semoga ianya berjaya menimbulkan ketakutan kepada masyarakat untuk melakukan zina seterusnya mengurangkan kes pembuangan bayi.



Namun begitu, masih terdapat langkah yang lebih baik yang boleh kita lakukan selain mengadakan sekolah khas dan hukuman berat ke atas mereka. Sebenarnya apa yang dilakukan adalah sekadar mengubati komplikasi perhubungan lelaki perempuan yang langsung terpesong jauh dari Islam. Dalam bidang perubatan, rawatan yang terbaik adalah pencegahan awal. Prevention is better than cure.

Dalam masalah ini, apa yang perlu dicegah sebenarnya adalah unsur-unsur yang membawa ke arah perhubungan bebas lelaki dan perempuan serta yang boleh menaikkan nafsu. Elakkan penganjuran konsert-konsert artis yang ke arah maksiat, tapis filem-filem yang mengandungi adegan-adegan seks di dalamnya, kurangkan filem-filem percintaan melayu yang ala-ala barat, berhenti memuja cinta sebelum kahwin, elakkan iklan-iklan yang menunjukkan anggota badan wanita yang terlarang, mewajibkan wanita memakai pakaian yang menutup aurat bagi orang Islam di IPT-IPT, agensi-agensi swasta dan kerajaan, mengasingkan lelaki dan perempuan pada tempat, masa dan situasi yang memerlukannya selagi termampu.

Ibu bapa perlu menjaga dan memantau pergaulan dan perhubungan anak-anak. Guru-guru jangan berhenti memberi nasihat dan ajaran. Masyarakat sekeliling perlu menjadi lebih peka dan sensitif. Jangan sampai berlakunya desensitization terhadap pergaulan bebas lelaki dan wanita. Persatuan-persatuan pelajar perlu lebih serius dan bersungguh-sungguh memberi penerangan kepada ahli-ahli mereka. NGO-NGO perlu lebih aktif mengadakan usaha-usaha memberi kesedaran kepada masyarakat dan semestinya kerajaan perlulah menyokong segala usaha-usaha ini dan yang paling penting adalah melaksanakan undang-undang Islam. Semua pihak bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing mengikut kemampuan dalam mengatasi masalah ini.

Mutiara kata - 1

Orang yang terlalu memikirkan akibat dari sesuatu keputusan atau tindakan, sampai bila-bilapun dia tidak akan menjadi orang yang berani

-Khalifah Ali bin Abi Talib-

Ikhtilat - 1



Powered by JAKSI PCI

Why ALLAH is doing this to me?

Sebuah video yang menarik dari Brother Nouman Ali Khan tentang ujian daripada ALLAH kepada hamba-hamba-NYA. Apakah yang sebenarnya disebalik ujian-ujian yang ALLAH timpakan ke atas manusia. Sebagai contoh, seorang yang baru memeluk Islam kehilangan kerjanya. Bukankah itu satu keadaan yang amat menekan untuknya. Kenapa ALLAH lakukan sedemikian kepadanya? Kita gagal dalam peperiksaan, keluarga yang porak peranda, ibu bapa kurang memberi perhatian, selalu dibuli orang lain, kematian orang-orang yang tersayang, ditimpa penyakit kronik, eksiden dan sebagainya. Mengapa perkara-perkara buruk berlaku kepada kita sedangkan kita menganut agama ALLAH?

Apakah hakikat sebenar ujian ALLAH? Contoh-contoh peristiwa yang mana kekasih ALLAH juga tidak terlepas daripada menerima ujian. Apakah konsep yang kita perlu pegang dalam menghadapi ujian ALLAH? Segala persoalan itu dikupas dan dijawab dengan baik oleh Brother Nouman. Jadi, selamat menonton dan beramal. Semoga sedikit sebanyak menambahkan lagi keyakinan kita kepada ALLAH dan tabah dalam menghadapi segala ujian-NYA.




Wednesday 11 August 2010

Ramadhan : Antara Adat Dan Ibadat

Umat Islam seluruh negara telah melangkah masuk ke bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Rentetan daripada ketibaan Ramadan, suasana baruyang tidak dapat dilihat pada bulan-bulan lain akan mengambil tempat.

Di antaranya menggambarkan ciri ibadah puasa yang sebenar serta tidak kurang juga puasa sebagai adat atau pesta tahunan.

Oleh itu, umat Islam perlu benar-benar memahami falsafah puasa yang selaras dengan al-Quran dan sunah serta mengelakkan daripada menjadikan puasa hanya sebagai adat tahunan sahaja.

Di antara ciri-ciri tingkah laku yang perlu dihindarkan kerana telah menjatuhkan martabat puasa kepada tahap adat semasa ialah:

1. Menyempitkan skop puasa hanya dengan menahan makan dan minum pada siang hari sahaja. Sedang mata, hati dan lidah tidak ditahan daripada melakukan dosa. Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala berpuasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya. (riwayat Al-Bukhari)

2. Berpuasa pada siang hari sahaja daripada melakukan dosa dan maksiat. Selepas berbuka segala kegiatan maksiat seperti mengumpat, merokok, mencaci, melakukan zina mata diteruskan seperti biasa.

3. Berlebih menyediakan juadah berbuka puasa sehingga melakukan pembaziran. Allah berfirman, Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara kepada syaitan. (al-Isra':27)

4. Berlebih makan ketika berbuka sehingga meletihkan badan dan menghalang daripada melakukan ibadah di malamnya. Sikap bersederhana Rasulullah s.a.w di dalam berbuka puasa perlu dicontohi sebagaimana maksud hadis: Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rutab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air. (riwayat Abu Daud, Ahmad & Al-Tirmidzi)

5. Malas menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat seperti melakukan solat tarawih, solat malam dan sebagainya.

6. Terdorong untuk bersolat tarawih hanya kerana sandaran kepada hadis palsu yang menyatakan kelebihan bersolat tarawih pada setiap malam. Untuk itu, pihak berkuasa agama perlu menghindarkan penyebaran hadis inidaripada berleluasa seperti tahun-tahun terdahulu.

7. Mengabaikan ibadah malam bermula dengan solat berjemaah maghrib, isyak dan tarawih kerana sibuk menonton televisyen atau kerana urusan-urusan lain.

8. Malas bekerja dan tidak produktif semasa berpuasa dengan alasan keletihan. Bayangkan bagaimana nabi s.a.w dan para sahabat berperang Badar dengan nisbah 300 melawan 1,000 orang.

9. Malas membaca al-Quran atau hanya mengehadkan bacaanpada surah Yasin sahaja. Sedangkan baginda s.a.w senantiasa menyemak dan mengkhatamkan al-Quran sekali di dalam bulan Ramadan dengan Jibril a.s.

10. Malas berdoa sedangkan doa orang yang puasa akan dimakbul oleh Allah berdasarkan sabda nabi s.a.w : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibn Majah).

11. Mengabai serta meninggalkan peluang beribadat pada 10 malam terakhir Ramadan kerana sibuk dengan persiapan menyambut hari raya.

12. Tidak bersedih dengan berakhirnya bulan Ramadan. Juga tidak bimbang sekiranya tidak dapat bertemu Ramadan yang akan datang.

13. Memiliki kepercayaan-kepercayaan karut tentang kepulangan roh orang yang telah mati pada bulan Ramadan. Sedangkan kepercayaan tersebut adalah bertentangan dengan konsep roh dan alam barzakh (al-Mukminun: 99-100)

14. Kepercayaan kepada perlunya menyalakan pelita pada malam 7 likur. Akibat kepercayaan ini Islam telah terfitnah dengan tohmahan pihak tertentu yang mengatakan malaikat orang Islam rabun malam. Oleh sebab itu, pelita perlu dinyalakan sebagai panduan kepada para malaikat yang turun membawa berkat. (Rujuk- http://youtube.com/watch?v=RgT-_Uf62rk)

15. Tidak menunaikan sembahyang fardu ketika berpuasa atau hanya bersolat pada bulan Ramadan sahaja. Sabda nabi s.a.w : Beza di antar seorang Muslim dengan syirik serta kekufuran adalah meninggalkan solat. (riwayat Muslim). Menurut sebahagian ulama salaf, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum kafir. Maka sudah pasti amalan puasa orang yang kafir tidak akan diterima oleh Allah.

16. Memusnahkan pahala puasa sebulan dengan sambutan hari raya yang melampau sehingga melakukan maksiat.

Ini adalah di antara beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh umat Islam semasa menjalankan ibadat puasa yang telah merendahkan martabat bulan Ramadan. Oleh itu, kita perlu menghindarkan perkara-perkara tersebut demi menjamin pahala yang berganda di bulan ini.

Ini berdasarkan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lepas. (riwayat al-Bukhari)