RSS Subscribe

Sunday 15 August 2010

Buang Bayi

Kes-kes pembuangan bayi semakin hari semakin menjadi-jadi. Hampir setiap hari terpampang berita-berita bayi dibuang di muka-muka akhbar dan kadang-kadang lebih daripada 1 kes. Malang sekali apabila anak yang lahirnya dengan fitrah yang suci dibuang seperti najis ke dalam lubang-lubang jamban yang pelbagai bentuk, dibuang ke dalam tong sampah, dibuang ke dalam sungai, ditinggalkan begitu sahaja. Semakin hari manusia sudah menjadi tidak rasional, menjadi gila, langsung tidak berupaya menggunakan akal mereka dengan baik. Apakah perbezaan kita dengan haiwan?







Isu pembuangan bayi merupakan isu yang patut diberi perhatian serius oleh semua pihak. Bermula daripada ibu bapa, warga pendidik, masyarakat sekeliling seterusnya kerajaan yang memerintah. Satu pujian kepada kerajaan negeri Melaka kerana berusaha membela nasib wanita-wanita yang berzina tetapi telah bertaubat. Sedikit sebanyak boleh membantu mereka untuk menghadapi kehidupan seterusnya. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.



Terkini, kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyiasat kes pembuangan bayi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati manakala kes cubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Ini merupakan satu cara untuk mendidik masyarakat menggunakan hukuman. Semoga ianya berjaya menimbulkan ketakutan kepada masyarakat untuk melakukan zina seterusnya mengurangkan kes pembuangan bayi.



Namun begitu, masih terdapat langkah yang lebih baik yang boleh kita lakukan selain mengadakan sekolah khas dan hukuman berat ke atas mereka. Sebenarnya apa yang dilakukan adalah sekadar mengubati komplikasi perhubungan lelaki perempuan yang langsung terpesong jauh dari Islam. Dalam bidang perubatan, rawatan yang terbaik adalah pencegahan awal. Prevention is better than cure.

Dalam masalah ini, apa yang perlu dicegah sebenarnya adalah unsur-unsur yang membawa ke arah perhubungan bebas lelaki dan perempuan serta yang boleh menaikkan nafsu. Elakkan penganjuran konsert-konsert artis yang ke arah maksiat, tapis filem-filem yang mengandungi adegan-adegan seks di dalamnya, kurangkan filem-filem percintaan melayu yang ala-ala barat, berhenti memuja cinta sebelum kahwin, elakkan iklan-iklan yang menunjukkan anggota badan wanita yang terlarang, mewajibkan wanita memakai pakaian yang menutup aurat bagi orang Islam di IPT-IPT, agensi-agensi swasta dan kerajaan, mengasingkan lelaki dan perempuan pada tempat, masa dan situasi yang memerlukannya selagi termampu.

Ibu bapa perlu menjaga dan memantau pergaulan dan perhubungan anak-anak. Guru-guru jangan berhenti memberi nasihat dan ajaran. Masyarakat sekeliling perlu menjadi lebih peka dan sensitif. Jangan sampai berlakunya desensitization terhadap pergaulan bebas lelaki dan wanita. Persatuan-persatuan pelajar perlu lebih serius dan bersungguh-sungguh memberi penerangan kepada ahli-ahli mereka. NGO-NGO perlu lebih aktif mengadakan usaha-usaha memberi kesedaran kepada masyarakat dan semestinya kerajaan perlulah menyokong segala usaha-usaha ini dan yang paling penting adalah melaksanakan undang-undang Islam. Semua pihak bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing mengikut kemampuan dalam mengatasi masalah ini.

No comments:

Post a Comment